Home / Holiday / Tempat Menarik di Pulau Pinang

Tempat Menarik di Pulau Pinang

Mencari tempat-tempat menarik untuk dikunjungi di Pulau Pinang? Biasanya time cuti sekolah lah masa yang paling sesuai untuk bercuti dan di Pulau Pinang terdapat banyak tempat menarik untuk dilawati. Dari tarikan pantai hinggalah ke makanannya memang anda tidak akan rasa bosan berada di Pulau Pinang. Disenaraikan di sini antara tempat-tempat menarik yang wajib anda kunjungi bila sampai ke Penang.

 
1. Bukit Bendera (Penang Hill)
Bukit Bendera merupakan salah satu daripada sejarah peninggalan British di Pulau Pinang. Puncak tertinggi disini adalah pada ketinggian 833m (2,723 kaki) di atas paras laut. Untuk sampai ke puncak anda boleh menggunakan keretapi jenis ‘funicular’.

Sampai sahaja di puncak Penang Hill anda boleh menikmati pemandangan indah panorama Pulau Pinang. Anda boleh melihat dengan jelas Komtar dan Jambatan Pulau Pinang dari puncak Bukit Bendera.

Komtar dan Jambatan Pulau Pinang

Kalau nak tambang murah untuk keretapi funicular pastikan anda membawa Mykad sekali kerana pemegang Mykad akan diberikan diskaun. Tambang untuk dewasa bagi pemegang Mykad adalah RM8 dan tambang untuk warga emas dan kanak-kanak 4 tahun hingga 12 tahun bagi pemegang Mykad ialah RM4.

Sebelum pergi ke sana pastikan anda membuat semakan di laman web atau menghubungi Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang di nombor 04-8288880 kerana ada masanya pihak Perbadanan akan menutup operasi keretapi bagi membuat penyelenggaraan keretapi berkala. Nanti rugi pula datang jauh-jauh tapi keretapi tak beroperasi.

Koordinat GPS: U 5.407878 T 100.277467

 

2. Batu Ferringhi

Batu Ferringhi merupakan antara pantai yang paling popular di Pulau Pinang dan sering dikunjungi oleh pelancong luar dan dalam negara serta warga tempatan. Disini anda boleh menghabiskan masa di pantai untuk mandi atau piknik bersama keluarga.

Pantai Batu Ferringhi

Selain itu bagi yang berminat dengan aktiviti sukan air boleh lah menyewa peralatan untuk sukan air di sini seperti jet ski, parasailing dan banana boat. Tetapi berhati-hati apabila bermain jet ski kerana pantai tersebut akan ramai dengan pengunjung yang mandi dan bersiar-siar.

Selepas penat dengan aktiviti air, sebelah malamnya anda boleh menghabiskan masa di pasar malam di sepanjang jalan Batu Ferringhi. Disini anda boleh membeli pelbagai jenis souvenir dan t-shirt untuk dibawa pulang.

 

3. Penang Butterfly Farm

Penang Butterfly Farm merupakan tarikan pelancong yang mesti dikunjungi terutamanya bagi yang mempunyai anak. Taman Rama-Rama ini terletak di Teluk Bahang lebih kurang 5km dari Hard Rock Hotel Penang. Disini anda boleh melihat dengan lebih dekat hampir 4000 rama-rama dari 120 spesis.

Penang Butterfly Farm

Selain itu anda juga dapat melihat pelbagai jenis serangga dan reptilia disini.

Penang Butterfly Farm dibuka dari hari Isnin hingga Ahad termasuk pada hari cuti umum dari pukul 9 pagi hingga 6 petang (masa terakhir untuk masuk adalah pada pukul 5 petang). Harga tiket yang dikenakan ialah RM18 bagi pemegang Mykad dewasa dan RM10 bagi pemegang Mykid. Harga tiket bagi yang tidak mempunyai Mykad atau Mykid ialah RM27 (dewasa) dan RM15 (kanak-kanak 4 – 12 tahun). Untuk keterangan lanjut anda boleh menghubungi Penang Butterfly Farm di no 04-8851253.

Koordinat GPS: U 5.447828 T 100.214868

 

4. Masjid Kapitan Keling

Masjid ini terletak di Jalan Masjid Kapitan Keling dan bersebelahan dengan kedai makanan Nasi Kandar Beratur. Sejarah masjid ini bermula seawal tahun 1801 dari sebuah bangunan batu satu tingkat sehinggalah di perbesarkan selama beratus tahun sehingga menjadi sebuah masjid yang indah pada masa kini. Masjid ini memang sinonim dengan komuniti India Muslim yang berada di sana.

Masjid Kapitan Keling
Koordinat GPS: U 5.416539 T 100.337352

 

5. Chew Jetty

Chew Jetty merupakan sebuah kawasan perkampungan yang dibina di atas laut. Kebanyakan rumah disini diperbuat daripada kayu dan petempatan ini masih kekal kukuh walaupun Pulau Pinang telah mengalami pembangunan yang pesat. Tapak ini juga merupakan salah satu kawasan di Pulau Pinang yang telah digazetkan UNESCO sebagai World Heritage Site.

Jalan yang diperbuat dari kayu di sini akan membawa anda ke jeti. Di hujung jeti anda boleh melihat pemandangan panorama laut yang indah serta bangunan di Pulau Pinang. Chew Jetty terletak tidak jauh daripada terminal feri di Pulau Pinang.

Chew Jetty
Koordinat GPS: U 5.412636 T 100.339743

 

6. Pinang Peranakan Mansion

Pinang Peranakan Mansion merupakan sebuah muzium yang menempatkan pelbagai koleksi barangan antik dari keturunan Baba dan Nyonya. Pada asalnya mahligai ini dimiliki oleh Chung Keng Quee (seorang Kapitan dari China) yang merupakan seorang ahli perniagaan yang kaya. Kini rumah ini telah diubahsuai untuk dijadikan sebuah muzium yang mengetengahkan budaya dan gaya hidup orang Peranakan di Pulau Pinang.

Penang Peranakan Mansion

Bagi yang ingin melawat Pinang Peranakan Mansion, ianya terletak di Lebuh Gereja yang turut merupakan sebahagian dari kawasan Georgetown UNESCO World Heritage Site.

Ianya dibuka dari pukul 9.30 pagi hingga 5 petang setiap hari termasuk pada hari cuti umum. Bayaran yang dikenakan ialah  RM10.00 untuk dewasa dan percuma untuk kanak-kanak bawah 6 tahun.

Koordinat GPS: U 5.417966 T 100.341127

 

7. Georgetown UNESCO World Heritage Site, Penang

Tidak lengkap percutian ke Pulau Pinang kalau tidak melawat ke Georgetown, kawasan yang telah disenaraikan sebagai salah satu tapak warisan dunia oleh UNESCO. Georgetown kaya dengan pelbagai bangunan bersejarah hasil dari pemerintahan British di Pulau Pinang sejak dari penghujung abad ke 18.

Standard Chartered Georgetown
Georgetown Heritage Trail Penang

 

8. Penang Museum

Di Muzium Pulau Pinang anda boleh melihat pelbagai jenis artifak dan koleksi antik yang menceritakan mengenai sejarah Pulau Pinang. Pada asalnya bangunan muzium ini telah menempatkan Penang Free School (dari tahun 1897 hingga 1927) dan kemudiannya digunakan sebagai Hutchings School (dari tahun 1928 hingga 1960). Hanya pada tahun 1964 barulah bangunan ini telah dijadikan sebagai muzium.

Penang Museum Exhibit Rokok

Muzium Pulau Pinang dibuka dari hari Sabtu hingga Khamis dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Ianya ditutup pada hari Jumaat dan cuti umum. Masuk adalah percuma.

 

Muzium Pulau Pinang
Farquhar Street,
Georgetown, Penang, 10200, Malaysia
Tel: 604 226 1462
Koordinat GPS: U 5.420481 T 100.338797

 

9. Toy Museum

Bagi yang bercuti bersama keluarga terutamanya yang membawa anak-anak, anda boleh membawa anak-anak untuk melawat Toy Museum yang terletak di Teluk Bahang. Kali terakhir saya melawat ke Toy Museum ianya terletak di Tanjung Bungah. Kini Toy Museum telah berpindah ke alamat yang baru iaitu bersebelahan SJK(C) Eok Hua di Teluk Bahang. Muzium ini menempatkan pelbagai koleksi mainan seperti Star Wars, Batman, Spiderman, Toy Story, The Matrix, X-Men, Godzilla, Shrek, Looney Tunes, Planet of The Apes, Narnia dan pelbagai lagi.

Matrix Toy Museum Penang
Toy Story Toy Museum

Toy Museum ini dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang. Kadar bayaran yang dikenakan ialah RM15 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak.

 

Toy Museum Heritage Garden
1370, MK2, Teluk Bahang,
11050 Penang.
(Bersebelahan SJK(C) Eok Hua)

 

10. Pasar Chowrasta

Bagi yang ingin membeli buah tangan dari Pulau Pinang bolehlah singgah di Pasar Chowrasta. Disini anda boleh mendapatkan pelbagai jenis jeruk, buah pala dan ikan masin untuk dibawa pulang ke rumah anda.

Buah Pala dan Jeruk

Pasar Chowrasta terletak di Jalan Penang dan berhampiran dengan Pasaraya Mydin Pulau Pinang.

Koordinat GPS: U 5.418119 T 100.331362

 

11. Makanan di Pulau Pinang

Percutian ke Pulau Pinang tidak akan lengkap kalau tidak menjamu selera dengan pelbagai makanan enak di Pulau Pinang. Di sini ada banyak makanan lazat seperti nasi kandar, pasembur, mee goreng, sup dan banyak lagi.

Di Pulau Pinang terdapat banyak restoran nasi kandar yang famous seperti Nasi Kandar Beratur, Nasi Kandar Line Clear dan Nasi Kandar Kampung Melayu. Sekiranya anda di Butterworth anda boleh mencuba Nasi Kandar Jamal Mohamed di Jalan Telekom.

Nasi Kandar Penang

Bagi peminat pasembur pula, anda boleh singgah ke Padang Kota Lama. Pastikan anda memilih dengan berhemat dan jangan tamak. Kalau tidak nanti membazir pula.

Pasembur

Mee goreng di Pulau Pinang tidak kurang hebatnya. Antara yang famous ialah Hameed Pata Mee Goreng di Padang Kota Lama berhampiran dengan Fort Cornwallis.

Mee Goreng Sotong

Peminat sup pula boleh singgah di Sup Hameed yang terletak berhampiran dengan Hotel Cititel Pulau Pinang.

Sup Hameed Penang

 

12. Feri Pulau Pinang

Sekiranya anda ingin mencari kelainan untuk sampai ke Pulau Pinang, anda boleh mencuba untuk menaiki Feri Pulau Pinang. Perjalanan menggunakan feri akan mengambil masa 15 minit dan anda boleh menikmati pemandangan indah Pulau Pinang dari feri ini. Anda juga dapat menjimatkan minyak kereta anda berbanding jika anda menggunakan Jambatan Pulau Pinang.

Feri Pulau Pinang

Untuk keterangan lanjut anda boleh menghubungi nombor berikut:

Pengkalan Raja Tun Uda (Pulau Pinang)
Telefon: 604 210 2363

Pengkalan Sultan Abdul Halim (Butterworth)
Telefon: 604 310 2377

About kl urbanite

Terima kasih kerana membaca blog ini. Segala penulisan disini adalah merupakan pandangan peribadi. Disini anda boleh mendapatkan pelbagai maklumat berguna seperti review makanan, destinasi pelancongan menarik, tips, berita sukan dan pelbagai berita terkini mengenai pelancaran produk di Malaysia.
Invite kami untuk membuat liputan tentang restoran anda, hotel anda, destinasi pelancongan dan produk anda. Anda boleh menghubungi saya melalui email atau laman sosial di bawah. Bagi yang tidak mahu terlepas entri terbaru kami anda boleh mengikuti atau Like kami di laman facebook KL Urbanite.

3 comments

  1. perlancongan kt pulau pinang mmg best dan saya harap ramai org berkunjung je tempat tersebut.

    • Penang memang banyak tempat menarik. Lagi pon Penang memang best kalau part makan. Rugi kalau tak explore tempat makan yang best kat pulau pinang

  2. banyak tempat xpegi lagi kt sana
    zarul farhana recently posted..Mee Udang bwh jenjatas di Changlun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge